Thursday, January 21, 2010

Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal

Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal

Penulis: Lim Kim Hui

Penerbit: DBP

No. KK: 1536211003104101

No. ISBN: 9789834603106

Tahun Terbitan: 2009


Buku Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal ini merupakan panduan kepada pembaca yang berminat mengetahui tentang logik tak formal, iaitu suatu subdisiplin logik dan percambahan baharu bidang falsafah dalam proses memahami sifat rasionaliti dan penghujahan yang baik. Buku ini mengutarakan pelbagai teknik kemahiran berfikir secara kritis dan menunjukkan kepada pembaca bagaimana teknik tersebut membantu membentuk hujahan yang lebih baik dan berkesan sama ada dalam penghujahan sehari-hari atau semasa menulis artikel penghujahan. Dalam buku ini, konsep dan takrifan pemikiran kritis lebih memberi tumpuan kepada penilaian pernyataan dan hujahan, dan tidak merangkumi persoalan penyelesaian masalah. Pendekatan yang digunakan ialah pendekatan logik tak formal walaupun ada juga dijelaskan sedikit tentang logik simbolik atau logik formal yang mudah, iaitu sekadar menyediakan pembaca sedikit latar belakang logik formal untuk kefahaman pembaca.

Sunday, January 10, 2010

PADAMKAN API YANG MENYALA!

PADAMKAN API YANG MENYALA!


Wahai anak-anakku bangsa merdeka!


Di terang bulan bumi bertuah ini


kita berjanji memagar setia membentang pertiwi


bukan menabur dendam di bendang fikir


yang suburnya mencambah prasangka -


tanpa kubu yakin batas sabar


kita hanyut ditelan emosi.




Biar politikus yang rakus


menyembur rempah-ratus politik emosi ras


mendidih kawah kata dan kuali isu yang panas


melontar hujahan falasi dan retorik kosong


api perkauman membahang menembus lapisan ozon


menala kompang perkauman di ceruk desa


memalu gendang cauvinis di sudut kota


berbajukan kebenaran bertopengkan hak


memancing undi mengisi raga-raga politik


memenuhkan kantung kepentingan diri


kita menghitung berapa raga miskin


yang ditanggung generasi ke generasi


di meja tersaji janji hidangan kempen


meneriakkan santapan hak asasi


kaum sendiri-sendiri


menempikkan ratapan suara demokrasi yang basi




kebenaran, apa bangsamu


kebenaran, mana asalmu


kebenaran, apa jantinamu.




kebenaran bukan tidak berganjak dari tradisi


kerana tradisi tidak semestinya berisi


kebenaran bukan suara majoriti


kerana majoriti tidak semestinya berinti.




Ingat! bangsa-bangsaku anak merdeka


layarkan bahtera faham ke sungai harmoni


kita persiapkan tingkah gagah


semangat besi waja


lautan hadapan menunggu kita!




1991-1992


(Dalam Kembara Fikir di Tanah Senja)