Thursday, May 23, 2013

Meraikan Perbezaan Menolak Perkauman




Meraikan Perbezaan Menolak Perkauman

Oleh: Lim Kim Hui

Masalah perkauman kembali menghantui Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-13. Keadaan ini berlaku kerana kita tidak dapat menerima perbezaan pendapat yang menjadi landasan negara berdemokrasi. Kita tidak mahu menerima hakikat perbezaan pilihan adalah kebebasan berkehendak yang diberikan oleh Tuhan. Keadaan ini berlaku kerana kita sering mencari persamaan semata-mata, orang Barat mahu orang Islam supaya menjadi seperti mereka dengan mengikuti nilai-nilai mereka dan begitu jugalah sebaliknya. Dunia ini terlalu menitikberatkan elemen persamaan sehingga melupakan hikmah perbezaan. Persamaan ada baiknya. Tetapi perbezaan adalah pelengkapnya.

Sebenarnya kalau kita berani merenungi hakikat penciptaan Tuhan, maka kita menemui bahawa keagungan Tuhan yang paling hakiki adalah keupayaan-Nya melahirkan warna-warni perbezaan. Kepelbagaian alam flora dan fauna, kewujudan manusia pelbagai etnik, kewujudan aneka bahasa, budaya dan agama menjadikan dunia ini berwarna-warni dan tidak membosankan. Kenikmatan warna-warni perbezaan yang Tuhan berikan tak pernah kita syukuri, malah sering kita lupakan. Kita mahu orang lain sama dengan kita.

Menyentuh hal ini, kita seharusnya menghargai keharmonian yang ada pada kita. Sambutan Hari Kemerdekaan yang disertai dengan acara berwarna-warni pelbagai kaum sesungguhnya merupakan suatu bentuk keindahan masyarakat Malaysia. Begitu juga, kehadiran pemimpin pelbagai kaum tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lainnya dalam sambutan bercorak budaya kesukuan menandakan bahawa sehingga kini nampaknya banyak daripada orang kita masih tahu menghargai perbezaan yang ada. Acara yang diikut-serta oleh masyarakat pelbagai etnik di Malaysia menggambarkan kejayaan toleransi kaum yang merupakan suatu khazanah menghargai perbezaan.

Nampaknya negara lain yang cukup berjaya dalam menggemblengkan perbezaan menjadi sebuah kekuatan adalah Switzerland misalnya. Dengan perbezaan linguistik rakyatnya yang boleh berbahasa Jerman, Perancis, Itali dan Romansh, negara Switzerland berjaya membentuk hubungan rapat dalam bidang pelancongan dan perdagangan dengan negara-negara di mana bahasa-bahasa ini dituturi. Malah Malaysia seharusnya berasa bertuah kerana dapat menikmati faedah gabungan antara bahasa timur dengan barat, selain daripada bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita, banyak penduduk turut berupaya berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil. Berbanding dengan Switzerland, kita mungkin lebih bersyukur kerana kita malah dapat bersatu di sebalik kepelbagaian agama yang ada.

Perbezaan bukan bermakna konflik tetapi keindahan. Kita harus berani memberitahu generasi baharu kita bahawa musuh kita bukannya perbezaan dan mereka juga harus diajar supaya menerima perbezaan baik perbezaan pendapat, ideologi, agama, bahasa mahupun budaya. Hanya semangat menerima perbezaan sebagai sesuatu bentuk keindahan boleh menyelamatkan dunia kita daripada terus bersengketa. Keindahan yang dipersembahkan oleh rakyat Malaysia menggambarkan bahawa perbezaan budaya tidak semestinya menggambarkan pertembungan seperti yang cuba dilaga-lagakan oleh Huntington (1993) melalui tesisnya Pertembungan Peradaban (The Clash of Civilization).

Kejayaan pelancongan Malaysia melalui slogan “Malaysia Truly Asia” merupakan kepintaran promosi pelancongan yang berjaya atas semangat menghargai perbezaan. Kalau kita melihat kembali landskap sejarah lama Melaka dan Pulau Pinang. Kita seharusnya berasa bangga bahawa nenek-moyang kita dahulu sebenarnya jauh lebih terbuka dan matang. Kehadiran masjid, kuil, gereja dan tokong dalam sebuah kawasan yang sama menggambarkan hakikat bahawa kita menghargai perbezaan. Persoalannya kenapa dengan semakin majunya budaya kebendaan, masyarakat menjadi semakin mundur toleransi budayanya?

Persamaan bermaksud kebosanan, ekanada dan keluaran kilang, bukan kreativiti. Perbezaan mencorakkan keindahan dan memperkayakan pilihan dan kreativiti. Dalam keghairahan dunia mencari kepentingan bersama, kenapa tidak kita memikirkan betapa indahnya perbezaan. Dunia akan menjadi suatu gelanggang yang cukup membosankan tanpa variasi. Bukankah perbezaan budaya pelbagai etnik di Malaysia mewujudkan pelbagai makanan yang lazat? Bukankah perbezaan budaya mewujudkan muzik yang berbeza? Bukankah perbezaan  agama mewujudkan pelbagai acara sambutan yang berwarna-warni? Bukankah perbezaan peradaban menyediakan sumber menimba ilmu yang beraneka rupa.

Tanpa ada perbezaan, di mana letaknya kebebasan untuk memilih, dan tanpa kebebasan memilih, demokrasi akan hanya menjadi dusta. Demokrasi bukan setakat melihat persamaan hak, tetapi juga harus melihat adanya hak untuk berbeza. Kebolehan menghargai perbezaan itulah sebenarnya menjadi akar bertumbuhnya toleransi dan demokrasi. Bersama-samalah kita memelihara semangat menghargai perbezaan yang masih ada pada kita. Janganlah kita terus bersengketa dan saling hina-menghina kerana perbezaan pendapat, kaum, bangsa, warna kulit, agama, jantina, ideologi politik dan sebagainya. Marilah kita menolak sentimen perkauman dan meraikan perbezaan yang Tuhan kurniakan!