Meraikan Perbezaan Menolak Perkauman
Oleh: Lim Kim Hui
Masalah perkauman kembali menghantui Malaysia selepas Pilihan Raya Umum
Ke-13. Keadaan ini berlaku kerana kita tidak dapat menerima perbezaan pendapat
yang menjadi landasan negara berdemokrasi. Kita tidak mahu menerima hakikat
perbezaan pilihan adalah kebebasan berkehendak yang diberikan oleh Tuhan. Keadaan ini berlaku kerana kita sering
mencari persamaan semata-mata,
orang Barat mahu orang Islam supaya menjadi seperti mereka dengan mengikuti
nilai-nilai mereka dan begitu jugalah sebaliknya. Dunia ini terlalu
menitikberatkan elemen persamaan sehingga melupakan hikmah perbezaan. Persamaan ada
baiknya. Tetapi perbezaan adalah pelengkapnya.
Sebenarnya kalau
kita berani merenungi hakikat penciptaan Tuhan, maka kita menemui bahawa
keagungan Tuhan yang paling hakiki adalah keupayaan-Nya melahirkan warna-warni
perbezaan. Kepelbagaian alam flora dan fauna, kewujudan manusia pelbagai etnik,
kewujudan aneka bahasa, budaya dan agama menjadikan dunia ini berwarna-warni
dan tidak membosankan. Kenikmatan warna-warni perbezaan yang Tuhan berikan tak
pernah kita syukuri, malah sering kita lupakan. Kita mahu orang lain sama
dengan kita.
Menyentuh hal ini,
kita seharusnya menghargai keharmonian yang ada pada kita. Sambutan Hari
Kemerdekaan yang disertai dengan acara berwarna-warni pelbagai kaum
sesungguhnya merupakan suatu bentuk keindahan masyarakat Malaysia. Begitu juga,
kehadiran pemimpin pelbagai kaum tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban
dan lain-lainnya dalam sambutan bercorak budaya kesukuan menandakan bahawa sehingga
kini nampaknya banyak daripada orang kita masih tahu menghargai perbezaan yang
ada. Acara yang diikut-serta oleh masyarakat pelbagai etnik di Malaysia
menggambarkan kejayaan toleransi kaum yang merupakan suatu khazanah menghargai
perbezaan.
Nampaknya negara
lain yang cukup berjaya dalam menggemblengkan perbezaan menjadi sebuah kekuatan
adalah Switzerland misalnya. Dengan
perbezaan linguistik rakyatnya yang boleh berbahasa Jerman, Perancis, Itali dan Romansh, negara Switzerland berjaya membentuk
hubungan rapat dalam bidang pelancongan dan perdagangan dengan negara-negara di
mana bahasa-bahasa ini dituturi. Malah Malaysia seharusnya berasa bertuah
kerana dapat menikmati faedah gabungan antara bahasa timur dengan barat, selain
daripada bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita, banyak penduduk
turut berupaya berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil. Berbanding dengan
Switzerland, kita mungkin lebih bersyukur kerana kita malah dapat bersatu di
sebalik kepelbagaian agama yang ada.
Perbezaan bukan
bermakna konflik tetapi keindahan. Kita harus berani memberitahu generasi baharu kita bahawa musuh kita bukannya
perbezaan dan mereka juga harus diajar supaya menerima perbezaan baik perbezaan
pendapat, ideologi, agama, bahasa mahupun budaya. Hanya semangat menerima
perbezaan sebagai sesuatu bentuk keindahan boleh menyelamatkan dunia kita
daripada terus bersengketa.
Keindahan yang dipersembahkan oleh rakyat Malaysia menggambarkan bahawa
perbezaan budaya tidak semestinya menggambarkan pertembungan seperti yang cuba
dilaga-lagakan oleh Huntington (1993) melalui tesisnya Pertembungan Peradaban (The Clash of Civilization).
Kejayaan
pelancongan Malaysia melalui slogan “Malaysia
Truly Asia” merupakan kepintaran promosi pelancongan yang berjaya atas
semangat menghargai perbezaan. Kalau kita melihat kembali landskap sejarah lama
Melaka dan Pulau Pinang. Kita seharusnya berasa bangga bahawa nenek-moyang kita
dahulu sebenarnya jauh lebih terbuka dan matang. Kehadiran masjid, kuil, gereja dan tokong dalam sebuah
kawasan yang sama menggambarkan hakikat bahawa kita menghargai perbezaan.
Persoalannya kenapa dengan semakin majunya budaya kebendaan, masyarakat menjadi
semakin mundur toleransi budayanya?
Persamaan bermaksud
kebosanan, ekanada dan keluaran kilang, bukan kreativiti. Perbezaan mencorakkan
keindahan dan memperkayakan pilihan dan kreativiti. Dalam keghairahan dunia
mencari kepentingan bersama, kenapa tidak kita memikirkan betapa indahnya
perbezaan. Dunia akan menjadi suatu gelanggang yang cukup membosankan tanpa
variasi. Bukankah perbezaan budaya pelbagai etnik di Malaysia mewujudkan
pelbagai makanan yang lazat? Bukankah perbezaan budaya mewujudkan muzik yang
berbeza? Bukankah perbezaan agama mewujudkan
pelbagai acara sambutan yang berwarna-warni? Bukankah perbezaan peradaban
menyediakan sumber menimba ilmu yang beraneka rupa.
Tanpa ada
perbezaan, di mana letaknya kebebasan untuk memilih, dan tanpa kebebasan
memilih, demokrasi akan hanya menjadi dusta. Demokrasi bukan setakat melihat
persamaan hak, tetapi juga harus melihat adanya hak untuk berbeza. Kebolehan
menghargai perbezaan itulah sebenarnya menjadi akar bertumbuhnya toleransi dan
demokrasi. Bersama-samalah kita memelihara semangat menghargai perbezaan yang
masih ada pada kita. Janganlah kita terus bersengketa dan saling hina-menghina
kerana perbezaan pendapat, kaum, bangsa, warna kulit, agama, jantina, ideologi
politik dan sebagainya. Marilah kita menolak sentimen perkauman dan meraikan
perbezaan yang Tuhan kurniakan!