Thursday, March 15, 2012

Kata Lupa Kepada Ingat
















sewaktu kautersungkur
baru k
autahu
betapa bahagianya
menjadi aku!


Puisi merupakan bahasa kenangan yang merakamkan peristiwa-peristiwa masa lalu. Tatkala kita sudah lupa, metafora bahasanya bagaikan mengingatkan rindu kita pada masa silam. Tatkala kita mahu mengingati sesuatu, ada suatu pesan yang tidak harus kita lupakan: kadangkala lebih baik lupa daripada ingat. Kumpulan puisi KATA LUPA KEPADA INGAT ini mengumpulkan sejumlah 71 puisi yang merakamkan pelbagai peristiwa yang mahu dilupakan penulis tapi citra-citranya terus-menerus bertali-temali dalam ingatan.

Poetry is a linguistic expression of the old memories. When we have forgotten, the metaphoric language reminds us of the nostalgic past. When we wish to remember something, there is a message that we shouldn't forget: Sometimes it is better to forget than to remember. The anthology of "Says Forget to Remember" is a collection of 71 poems which represents the events to be forgotten by the author, but their visions to be continuously rigging in the memory.

Thursday, January 21, 2010

Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal

Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal

Penulis: Lim Kim Hui

Penerbit: DBP

No. KK: 1536211003104101

No. ISBN: 9789834603106

Tahun Terbitan: 2009


Buku Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal ini merupakan panduan kepada pembaca yang berminat mengetahui tentang logik tak formal, iaitu suatu subdisiplin logik dan percambahan baharu bidang falsafah dalam proses memahami sifat rasionaliti dan penghujahan yang baik. Buku ini mengutarakan pelbagai teknik kemahiran berfikir secara kritis dan menunjukkan kepada pembaca bagaimana teknik tersebut membantu membentuk hujahan yang lebih baik dan berkesan sama ada dalam penghujahan sehari-hari atau semasa menulis artikel penghujahan. Dalam buku ini, konsep dan takrifan pemikiran kritis lebih memberi tumpuan kepada penilaian pernyataan dan hujahan, dan tidak merangkumi persoalan penyelesaian masalah. Pendekatan yang digunakan ialah pendekatan logik tak formal walaupun ada juga dijelaskan sedikit tentang logik simbolik atau logik formal yang mudah, iaitu sekadar menyediakan pembaca sedikit latar belakang logik formal untuk kefahaman pembaca.

Sunday, January 10, 2010

PADAMKAN API YANG MENYALA!

PADAMKAN API YANG MENYALA!


Wahai anak-anakku bangsa merdeka!


Di terang bulan bumi bertuah ini


kita berjanji memagar setia membentang pertiwi


bukan menabur dendam di bendang fikir


yang suburnya mencambah prasangka -


tanpa kubu yakin batas sabar


kita hanyut ditelan emosi.




Biar politikus yang rakus


menyembur rempah-ratus politik emosi ras


mendidih kawah kata dan kuali isu yang panas


melontar hujahan falasi dan retorik kosong


api perkauman membahang menembus lapisan ozon


menala kompang perkauman di ceruk desa


memalu gendang cauvinis di sudut kota


berbajukan kebenaran bertopengkan hak


memancing undi mengisi raga-raga politik


memenuhkan kantung kepentingan diri


kita menghitung berapa raga miskin


yang ditanggung generasi ke generasi


di meja tersaji janji hidangan kempen


meneriakkan santapan hak asasi


kaum sendiri-sendiri


menempikkan ratapan suara demokrasi yang basi




kebenaran, apa bangsamu


kebenaran, mana asalmu


kebenaran, apa jantinamu.




kebenaran bukan tidak berganjak dari tradisi


kerana tradisi tidak semestinya berisi


kebenaran bukan suara majoriti


kerana majoriti tidak semestinya berinti.




Ingat! bangsa-bangsaku anak merdeka


layarkan bahtera faham ke sungai harmoni


kita persiapkan tingkah gagah


semangat besi waja


lautan hadapan menunggu kita!




1991-1992


(Dalam Kembara Fikir di Tanah Senja)

Friday, April 3, 2009

ASEANO: An Anthology of Poems from Southeast Asia

ASEANO: An Anthology of Poems from Southeast Asia (1995)
Editors:
Romula P. Baquiran, Jr.
Shaharah Wahab
Taufiq Ismail
Lim Kim Hui
Simon Tay
Linchong Chorrojprasert
Manila: ASEAN COMMITTEE ON CULTURE & INFORMATION

Monday, December 22, 2008

Teori Kesusasteraan Cina

Buku ini membicarakan secara terperinci teori kesusasteraan Cina tradisional dengan menggunakan metodologi Barat sezaman, dan merupakan buku yang pertama dalam sebarang bahasa yang menganalisis teori tersebut dalam satu kerangka konseptual yang baru. James J.Y. Liu, memberi fokus terhadap teori tentang ciri dan fungsi sastera Cina. Corak karyanya bersifat analitikal dan hermeneutikal terutamanya, walaupun juga bersifat sejarah, dan karya ini membuka satu bidang pengkajian baru kepada para sarjana sastera. Buku ini merupakan teks kajian ilmiah dan buku rujukan para pelajar di institusi pengajian tinggi, khususnya bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang sastera Bandingan dan Pengajian Cina.

Sejarah Ringkas Falsafah Cina

Sejarah Ringkas Falsafah Cina merupakan sebuah babad pemikiran Cina bermula daripada para raja-pendeta alaf ketiga sehingga kepada penggulingan sistem monarki tertua di dunia dalam 1911. Buku ini menjelaskan aliran Konfusianisme dan Taoisme yang paling lazim dikenali, dan ia memaklumi pembaca dengan Mohisme, Yin-Yang, Legalisme, Neo-Taoisme, Neo-Konfusianisme, dan pengenalan falsafah Barat. Penyesuaian daripada karya agung Dr. Fung yang berjudul History of Chinese Philosophy ini membekali para penggemar falsafah dan para pelajar pengajian Asia pada semua peringkat dengan sebuah jendela khusus bagi memandang ke dalam ideologi dan falsafah Cina dahulu kala dan semasa.

Kembara Fikir di Tanah Senja

Kumpulan puisi Kembara Fikir di Tanah Senja memuatkan 167 buah puisi yang dihasilkan sejak tahun 1987-2005 mencanai pengalaman dan pemerhatian penulis yang kebanyakannya ditulis ketika berada di luar negara dengan pelbagai tema yang menyentuh hatinya. Di tangan penyair, irama peradaban Timur dan Barat dijalin menjadi lagu kemanusiaan yang penuh harmonis dan puitis dengan pilihan metafora dan personifikasi yang bermaya. Dengan nada yang sentiasa sinis dan penuh falsafah, penulis mengungkapkan kritikan tajam terhadap isu-isu nasional dan global.