Thursday, May 23, 2013

Meraikan Perbezaan Menolak Perkauman




Meraikan Perbezaan Menolak Perkauman

Oleh: Lim Kim Hui

Masalah perkauman kembali menghantui Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-13. Keadaan ini berlaku kerana kita tidak dapat menerima perbezaan pendapat yang menjadi landasan negara berdemokrasi. Kita tidak mahu menerima hakikat perbezaan pilihan adalah kebebasan berkehendak yang diberikan oleh Tuhan. Keadaan ini berlaku kerana kita sering mencari persamaan semata-mata, orang Barat mahu orang Islam supaya menjadi seperti mereka dengan mengikuti nilai-nilai mereka dan begitu jugalah sebaliknya. Dunia ini terlalu menitikberatkan elemen persamaan sehingga melupakan hikmah perbezaan. Persamaan ada baiknya. Tetapi perbezaan adalah pelengkapnya.

Sebenarnya kalau kita berani merenungi hakikat penciptaan Tuhan, maka kita menemui bahawa keagungan Tuhan yang paling hakiki adalah keupayaan-Nya melahirkan warna-warni perbezaan. Kepelbagaian alam flora dan fauna, kewujudan manusia pelbagai etnik, kewujudan aneka bahasa, budaya dan agama menjadikan dunia ini berwarna-warni dan tidak membosankan. Kenikmatan warna-warni perbezaan yang Tuhan berikan tak pernah kita syukuri, malah sering kita lupakan. Kita mahu orang lain sama dengan kita.

Menyentuh hal ini, kita seharusnya menghargai keharmonian yang ada pada kita. Sambutan Hari Kemerdekaan yang disertai dengan acara berwarna-warni pelbagai kaum sesungguhnya merupakan suatu bentuk keindahan masyarakat Malaysia. Begitu juga, kehadiran pemimpin pelbagai kaum tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lainnya dalam sambutan bercorak budaya kesukuan menandakan bahawa sehingga kini nampaknya banyak daripada orang kita masih tahu menghargai perbezaan yang ada. Acara yang diikut-serta oleh masyarakat pelbagai etnik di Malaysia menggambarkan kejayaan toleransi kaum yang merupakan suatu khazanah menghargai perbezaan.

Nampaknya negara lain yang cukup berjaya dalam menggemblengkan perbezaan menjadi sebuah kekuatan adalah Switzerland misalnya. Dengan perbezaan linguistik rakyatnya yang boleh berbahasa Jerman, Perancis, Itali dan Romansh, negara Switzerland berjaya membentuk hubungan rapat dalam bidang pelancongan dan perdagangan dengan negara-negara di mana bahasa-bahasa ini dituturi. Malah Malaysia seharusnya berasa bertuah kerana dapat menikmati faedah gabungan antara bahasa timur dengan barat, selain daripada bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita, banyak penduduk turut berupaya berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil. Berbanding dengan Switzerland, kita mungkin lebih bersyukur kerana kita malah dapat bersatu di sebalik kepelbagaian agama yang ada.

Perbezaan bukan bermakna konflik tetapi keindahan. Kita harus berani memberitahu generasi baharu kita bahawa musuh kita bukannya perbezaan dan mereka juga harus diajar supaya menerima perbezaan baik perbezaan pendapat, ideologi, agama, bahasa mahupun budaya. Hanya semangat menerima perbezaan sebagai sesuatu bentuk keindahan boleh menyelamatkan dunia kita daripada terus bersengketa. Keindahan yang dipersembahkan oleh rakyat Malaysia menggambarkan bahawa perbezaan budaya tidak semestinya menggambarkan pertembungan seperti yang cuba dilaga-lagakan oleh Huntington (1993) melalui tesisnya Pertembungan Peradaban (The Clash of Civilization).

Kejayaan pelancongan Malaysia melalui slogan “Malaysia Truly Asia” merupakan kepintaran promosi pelancongan yang berjaya atas semangat menghargai perbezaan. Kalau kita melihat kembali landskap sejarah lama Melaka dan Pulau Pinang. Kita seharusnya berasa bangga bahawa nenek-moyang kita dahulu sebenarnya jauh lebih terbuka dan matang. Kehadiran masjid, kuil, gereja dan tokong dalam sebuah kawasan yang sama menggambarkan hakikat bahawa kita menghargai perbezaan. Persoalannya kenapa dengan semakin majunya budaya kebendaan, masyarakat menjadi semakin mundur toleransi budayanya?

Persamaan bermaksud kebosanan, ekanada dan keluaran kilang, bukan kreativiti. Perbezaan mencorakkan keindahan dan memperkayakan pilihan dan kreativiti. Dalam keghairahan dunia mencari kepentingan bersama, kenapa tidak kita memikirkan betapa indahnya perbezaan. Dunia akan menjadi suatu gelanggang yang cukup membosankan tanpa variasi. Bukankah perbezaan budaya pelbagai etnik di Malaysia mewujudkan pelbagai makanan yang lazat? Bukankah perbezaan budaya mewujudkan muzik yang berbeza? Bukankah perbezaan  agama mewujudkan pelbagai acara sambutan yang berwarna-warni? Bukankah perbezaan peradaban menyediakan sumber menimba ilmu yang beraneka rupa.

Tanpa ada perbezaan, di mana letaknya kebebasan untuk memilih, dan tanpa kebebasan memilih, demokrasi akan hanya menjadi dusta. Demokrasi bukan setakat melihat persamaan hak, tetapi juga harus melihat adanya hak untuk berbeza. Kebolehan menghargai perbezaan itulah sebenarnya menjadi akar bertumbuhnya toleransi dan demokrasi. Bersama-samalah kita memelihara semangat menghargai perbezaan yang masih ada pada kita. Janganlah kita terus bersengketa dan saling hina-menghina kerana perbezaan pendapat, kaum, bangsa, warna kulit, agama, jantina, ideologi politik dan sebagainya. Marilah kita menolak sentimen perkauman dan meraikan perbezaan yang Tuhan kurniakan!

Thursday, July 12, 2012

Terjemahan sebagai Wahana Komunikasi dan Pemerkasaan Ilmu


TERJEMAHAN SEBAGAI WAHANA KOMUNIKASI
DAN PEMERKASAAN ILMU
_______________________________________________




Oleh:
Lim Kim Hui



Pendahuluan

Dunia merupakan sebuah taman budaya yang menarik kerana dihiasi dengan kepelbagaian bahasa yang indah seperti bahasa Cina, Inggeris, Jerman, Melayu dan Thai. Kekayaan bahasa yang ada pula menjadikan dunia sebuah khazanah ilmu yang tidak ada tandingnya. Bagaimanapun, kepelbagaian bahasa yang indah dan kaya itu pada masa yang sama turut mewujudkan jurang komunikasi jika seseorang itu tidak memahami bahasa penuturnya. Dalam konteks ini, hubungan antara sumber maklumat (perucap, penutur) dengan penerima maklumat (pembaca, pendengar) dalam sesuatu proses komunikasi tidak akan dapat terjalin tanpa adanya terjemahan. Terjemahan tentunya menjadi jambatan antara sumber dengan penerima.

Tentunya lebih baik untuk seseorang itu untuk menguasai bahasa asli sumbernya. Namun demikian, tentunya tidak mungkin bagi kita untuk menguasai kesemua bahasa yang ada di dunia. Sebagai langkah paling praktis, kita memilih terjemahan bagi tujuan tersebut. Terjemahan mempunyai pelbagai fungsi. Melalui terjemahan, kita boleh memahami idea pihak perucap tanpa mengetahui bahasa asalnya. Dalam hubungan ini, terjemahan bertindak selaku jambatan komunikasi bagi menghubungkan dua pihak yang sebenarnya tidak dapat berkomunikasi. Melalui terjemahan juga, kita akan dapat memahami budaya masyarakat lain. Begitu juga, melalui terjemahan, kita berupaya mendapatkan informasi dan ilmu daripada sumber-sumber yang tidak kita fahami bahasanya.

Bahasa Inggeris, Terjemahan dan Ilmu Pengetahuan
Bahasa Inggeris umumnya diakui sebagai bahasa antarabangsa yang tidak ada saingannya, apatah lagi dalam era globalisasi ini dengan teknologi maklumat sebagai pemacunya. Hal ini menjadi sedemikian rupa umumnya disebabkan oleh tiga faktor utama. Pertama, tradisi penaklukan empayar berbahasa Inggeris terutamanya British (kemudiannya Amerika) yang luas memperkukuhkan kedudukan bahasa berkenaan di kalangan negara-negara bekas jajahannya. Negara kita misalnya merupakan salah satu contoh yang jelas. Berbanding dengan Indonesia yang dijajah Belanda, kita nampaknya lebih banyak dikuasai cara berfikir Inggeris manakala Indonesia oleh cara berfikir Belanda. Sebagai contoh, sebutan huruf bagi fonem a, b, c dan seterusnya bagi masing-masing dua negara Malaysia dan Indonesia menjadi berlainan walaupun pada asalnya bermula daripada bahasa asal yang sama iaitu bahasa Melayu.

Kedua, kejayaan bahasa Inggeris memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dalam hampir kesemua bidang bermula daripada falsafah sehinggalah ke bidang sains. Kepentingan bahasa Inggeris menjadi semakin terasa apabila bahasa tersebut menjadi bahasa perantara terpenting dalam bidang komputer, teknologi maklumat dan telekomunikasi antarabangsa. Kalau kita perhatikan, rasanya tidak ada ilmu yang tidak diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sehinggakan orang lupa bahawa bahasa sumber asalnya bukanlah bahasa Inggeris. Sebenarnya ada banyak karya asli agung dunia yang bukan ditulis dalam bahasa Inggeris tetapi telah menjadi begitu popular kerana kejayaan bidang terjemahannya. Jerman sebagai misalannya terkenal sebagai sebuah negara yang paling banyak melahirkan pemikir dan penyair dunia. Banyak daripada kita barangkali tidak mengetahui hakikat tersebut kerana terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris menjadi begitu berjaya sehinggakan banyak yang merasakan bahawa buku-buku tersebut seperti karya asli. Tokoh-tokoh terkenal dalam bidang sains seperti Kepler, Einstein, Planck dan Leibniz, tokoh-tokoh falsafah seperti Hegel, Kant, Wittgenstein, Nietzsche, Marx dan Heidegger; tokoh muzik seperti Bach dan Beethoven, tokoh sosiologi seperti Weber dan Habermas, sasterawan terkenal seperti Goethe, Kafka dan Grass, tokoh psikologi seperti Freud semuanya terlahir daripada tradisi berbahasa Jerman. Tanpa adanya terjemahan ke dalam bahasa Inggeris, kita tidak berpeluang untuk meneliti sumbangan tokoh-tokoh berkenaan.

Ketiga, hegemoni Amerika Syarikat dengan kemajuan dan pengaruhnya menyebabkan mahu tidak mahu kita perlu mempelajari bahasanya bagi membolehkan komunikasi dan ekonomi berjalan lancar. Dalam dunia yang semakin global, setiap orang hampir tidak ada pilihan dan terpaksa mempelajari bahasa Inggeris demi memperluaskan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan. Keadaan tersebut semakin menghimpit daya hidup bahasa-bahasa lain di dunia. Kekuatan Amerika sekaligus turut menjadikan bahasa Inggeris dihormati pada hal banyak karya agung dunia pada asalnya bukan bahasa Inggeris, melainkan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Tanpa terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris, banyak orang tidak mungkin berpeluang memperoleh ilmu yang dimulakan oleh tradisi bukan Inggeris.

Walaupun bahasa Inggeris menyediakan bahan bacaan dan perucap yang mencukupi dalam menyebarkan ilmu ke arah memperkayakan bahasa kebangsaan kita, kita tidak seharusnya melupakan peranan bahasa-bahasa lain di dunia. Ada banyak orang yang berilmu tetapi tidak tahu berbahasa Inggeris. Golongan ini tidak seharusnya diketepikan kerana bahasa ilmu bukan datangnya daripada bahasa Inggeris semata-mata. Kemajuan dalam bahasa lain sebagai bahasa ilmu boleh juga kita jadikan panduan.

Terjemahan sebagai Wahana Komunikasi dan Pemerkasaan Ilmu di Jerman
Sebagai misalan, orang Jerman tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain di dunia dalam konteks penyebaran dan pemerkasaan ilmu. Walaupun begitu, mereka tidaklah sampai berkompromi sepenuhnya sehingga meminggirkan bahasa kebangsaan mereka sebagai wahana pemerkasaan ilmu. Disebabkan oleh sikap seperti itu, mereka berusaha menterjemahkan sama ada ucapan para pemimpin yang melakukan kunjungan, ucapan penceramah atau ahli akademik, buku mahupun filem ke dalam bahasa mereka. Dalam kehidupan sehari-hari mereka, mereka lebih berbangga untuk berbahasa Jerman (sekalipun mereka boleh berbahasa Inggeris). Keadaan ini berlaku di mana-mana. Bermula daripada kehidupan sehari-hari sehinggalah kepada dunia akademik. Walaupun begitu, umumnya Orang Jerman tidak merendah-rendahkan identiti dan ilmu pengetahuan yang dapat dijanakan daripada bahasa-bahasa lain. Malah mereka berusaha memanfaatkan khazanah yang ada dalam tradisi lain, tidak kira dari Asia mahupun Afrika. Mungkin itulah sebabnya kenapa ilmu dapat berkembang maju di Jerman.

Di universiti-universiti di Jerman misalnya, seseorang pemidato yang tidak tahu berucap dalam bahasa Inggeris atau langsung tidak tahu berbahasa Inggeris akan turut diundang bagi menyampaikan idea-idea mereka. Sebagai misalan, jika ada seorang perucap yang berkepakaran dalam bidangnya dan secara kebetulan beliau tidak mengetahui atau tidak fasih berbahasa Inggeris, maka perucap berkenaan masih boleh berucap dan mengongsi pandangannya dalam bahasa ibundanya. Pihak penganjur umumnya akan menyediakan seorang penterjemah atau pentafsir bagi menterjemahkan ucapannya ke dalam bahasa Jerman supaya pendengar yang hanya mengetahui bahasa Jerman akan dapat turut berkongsi ilmu. Keadaan seperti ini cukup lumrah. Mereka tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai satu-satunya sumber ilmu.

Hal ini nampaknya tidak begitu popular, terlalu sedikit atau barangkali hampir tidak pernah diusahakan di dalam universiti-universiti, institusi-institusi penyelidikan mahupun penganjur-penganjur seminar tempatan. Kita cenderung hanya mengundang perucap yang dapat berbahasa Inggeris atau Melayu sahaja sehinggakan kita melepaskan peluang untuk mengetahui budaya dan perkembangan ilmu yang berlaku dalam dunia bukan berbahasa Inggeris. Antara sebabnya barangkali kita tidak mempunyai tenaga penterjemah yang mencukupi terutamanya dalam bahasa-bahasa bukan berbahasa Inggeris. Umumnya kita mempunyai penterjemah yang kebanyakannya terdidik dalam melakukan terjemahan Melayu-Inggeris dan Inggeris-Melayu sahaja. Sebagai kesannya, hampir kebanyakan buku bukan berbahasa Inggeris diterjemahkan bukan berdasarkan buku aslinya, melainkan melalui perantaraan terjemahan bahasa Inggeris. Terjemahan seperti ini dua kali terpesong daripada maksud asalnya kerana terjemahan seperti itu bersifat terjemahan atas terjemahan.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita sebenarnya mempunyai sumber yang kaya dalam melahirkan penterjemah berbahasa Cina, Tamil dan Arab kerana sistem pendidikan kita yang memberi ruang kepada perkembangan bahasa-bahasa lain. Sayangnya kita tidak banyak menuai potensi dan kepakaran yang ada ekoran daripada keterbukaan dasar pendidikan kita. Keterbukaan seperti itu sesungguhnya merupakan aset yang paling berharga dalam memperkayakan bahasa kebangsaan kita. Kita boleh mengundang tenaga pakar dari China, India dan Arab yang tidak mahir berbahasa Inggeris untuk menyertai seminar tempatan dan menyediakan penterjemah bagi mentafsirkan ucapan mereka ke dalam bahasa Melayu bagi pengetahuan pendengar umum. Dengan cara seperti itu, kita tidaklah hanya bergantung ilmu kepada dunia berbahasa Inggeris semata-mata. Bukankah batasan dunia ilmu itu menerobosi langit? Kenapa perlu kita terhenti di batas karya-karya berbahasa Inggeris dan perucap-perucap yang hanya berbahasa Inggeris sahaja!

Kesimpulan

Kita tidak mungkin akan dapat mengetahui kesemua pengetahuan yang umumnya ditulis dalam pelbagai bahasa. Bagaimanapun, dengan adanya kemajuan dalam industri terjemahan, dunia kita yang begitu luas akan menjadi semakin kecil. Kita berkeupayaan melihat world-view dan memasuki alam budaya yang berbeza melalui terjemahan. Dengan informasi dan ilmu yang kita dapati melalui terjemahan, kita akhirnya dapat juga menjadi semakin besar dan berpengetahuan.


Friedrich Wilhelm August Fröbel (1782 - 1852) dan Konsep Tadika


Friedrich Fröbel, merupakan seorang ahli pendidikan Jerman. Beliau terkenal kerana mempelopori “sistem tadika” dan konsep permainan dalam alam pendidikan. Beliau mempunyai latar belakang kanak-kanak yang tidak begitu indah. Ibunya meninggal sewaktu beliau masih seorang bayi, dan bapanya seorang paderi, meninggalkannya bagi mengikuti ajaran agamanya. Beliau dibesarkan dengan rasa cinta kepada alam semula jadi dan kepercayaan Kristian yang kuat. Latar belakang tersebut dikatakan mempengaruhi pokok pemikirannya tentang pendidikan. Beliau berusaha mencari dan menggalakkan kesatuan dalam kesemua benda. Menurutnya:

The purpose of education is to encourage and guide man as a conscious, thinking and perceiving being in such a way that he becomes a pure and perfect representation of that divine inner law through his own personal choice; education must show him the ways and meanings of attaining that goal. (Friedrich Fröbel, Die Menschenerziehung, 1826, hal. 2)

Kepentingan Friedrich Fröbel yang berkekalan adalah pembentukannya tentang sistem tadika dengan memberi penekanan terhadap permainan dan penggunaan “gifts” (bahan permainan) dan  “occupations” (kegiatan). Beliau mempercayai bahawa manusia pada dasarnya produktif dan kreatif – dan pengisiannya diperoleh dengan mengembangkan kesemua bakat ini supaya berharmoni dengan Tuhan dan dunia. Sebagai keputusannya, Fröbel menggalakkan penciptaan persekitaran pendidikan yang melibatkan kerja-kerja praktis dan penggunaan material atau bahan secara langsung. Melalui persemukaannya dengan dunia atau alam, maka sesuatu pemahaman dapat ditemui. Melalui kepentingan permainan, iaitu sejenis aktiviti kreatif, kanak-kanak menjadi sedar akan kedudukan mereka dalam dunia yang didiami mereka. Keprihatinan utamanya adalah mengajar kanak-kanak melalui permainan pendidikan dalam keluarga. Pada waktu akhir-akhir hidupnya, hal ini menjadi semakin dihubungkaitkan dengan tuntutan terhadap pusat-pusat khusus bagi penjagaan dan perkembangan kanak-kanak di luar rumah. Sumbangan Fröbel dalam hal ini jelas bermanfaat sampai hari ini. Perkataan “Kindergarten” dalam bahasa Inggeris hari ini secara etimologinya diambil daripada bahasa Jerman yang terbit daripada idea Fröbel tersebut.


Friday, May 18, 2012

Puisi Korea di Stesen


























Cara puisi dimasyarakatkan di Korea: Puisi-puisi di stesen-stesen keretapi bawah tanah.


Sunday, May 6, 2012

Puisi: Tidak Semudah Itu






Tidak Semudah Itu


Tidak mudah jadi orang yang betul
kalau majoriti banyak yang tolol
tidak mudah jadi orang yang benar
kalau penguasa memberuk dan bernanar




Lim Kim Hui
Seoul
30hb. April 2012



Puisi: Tarikh Keramat






Tarikh Keramat

Di sini
bulan april musim bunga
bunga sakura berkembang mekar

Di sana
bulan apa musim pangkah
penguasa masih curiga
rakyat dibiarkan tertanya-tanya
tak tentu hujung pangkal
tak tahu nasib arah



Lim Kim Hui
Seoul
14hb. April 2012






Thursday, March 15, 2012

Kata Lupa Kepada Ingat
















sewaktu kautersungkur
baru k
autahu
betapa bahagianya
menjadi aku!


Puisi merupakan bahasa kenangan yang merakamkan peristiwa-peristiwa masa lalu. Tatkala kita sudah lupa, metafora bahasanya bagaikan mengingatkan rindu kita pada masa silam. Tatkala kita mahu mengingati sesuatu, ada suatu pesan yang tidak harus kita lupakan: kadangkala lebih baik lupa daripada ingat. Kumpulan puisi KATA LUPA KEPADA INGAT ini mengumpulkan sejumlah 71 puisi yang merakamkan pelbagai peristiwa yang mahu dilupakan penulis tapi citra-citranya terus-menerus bertali-temali dalam ingatan.

Poetry is a linguistic expression of the old memories. When we have forgotten, the metaphoric language reminds us of the nostalgic past. When we wish to remember something, there is a message that we shouldn't forget: Sometimes it is better to forget than to remember. The anthology of "Says Forget to Remember" is a collection of 71 poems which represents the events to be forgotten by the author, but their visions to be continuously rigging in the memory.

Thursday, January 21, 2010

Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal

Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal

Penulis: Lim Kim Hui

Penerbit: DBP

No. KK: 1536211003104101

No. ISBN: 9789834603106

Tahun Terbitan: 2009


Buku Seni Pemikiran Kritis: Suatu Pendekatan Logik Tak Formal ini merupakan panduan kepada pembaca yang berminat mengetahui tentang logik tak formal, iaitu suatu subdisiplin logik dan percambahan baharu bidang falsafah dalam proses memahami sifat rasionaliti dan penghujahan yang baik. Buku ini mengutarakan pelbagai teknik kemahiran berfikir secara kritis dan menunjukkan kepada pembaca bagaimana teknik tersebut membantu membentuk hujahan yang lebih baik dan berkesan sama ada dalam penghujahan sehari-hari atau semasa menulis artikel penghujahan. Dalam buku ini, konsep dan takrifan pemikiran kritis lebih memberi tumpuan kepada penilaian pernyataan dan hujahan, dan tidak merangkumi persoalan penyelesaian masalah. Pendekatan yang digunakan ialah pendekatan logik tak formal walaupun ada juga dijelaskan sedikit tentang logik simbolik atau logik formal yang mudah, iaitu sekadar menyediakan pembaca sedikit latar belakang logik formal untuk kefahaman pembaca.

Sunday, January 10, 2010

PADAMKAN API YANG MENYALA!

PADAMKAN API YANG MENYALA!


Wahai anak-anakku bangsa merdeka!


Di terang bulan bumi bertuah ini


kita berjanji memagar setia membentang pertiwi


bukan menabur dendam di bendang fikir


yang suburnya mencambah prasangka -


tanpa kubu yakin batas sabar


kita hanyut ditelan emosi.




Biar politikus yang rakus


menyembur rempah-ratus politik emosi ras


mendidih kawah kata dan kuali isu yang panas


melontar hujahan falasi dan retorik kosong


api perkauman membahang menembus lapisan ozon


menala kompang perkauman di ceruk desa


memalu gendang cauvinis di sudut kota


berbajukan kebenaran bertopengkan hak


memancing undi mengisi raga-raga politik


memenuhkan kantung kepentingan diri


kita menghitung berapa raga miskin


yang ditanggung generasi ke generasi


di meja tersaji janji hidangan kempen


meneriakkan santapan hak asasi


kaum sendiri-sendiri


menempikkan ratapan suara demokrasi yang basi




kebenaran, apa bangsamu


kebenaran, mana asalmu


kebenaran, apa jantinamu.




kebenaran bukan tidak berganjak dari tradisi


kerana tradisi tidak semestinya berisi


kebenaran bukan suara majoriti


kerana majoriti tidak semestinya berinti.




Ingat! bangsa-bangsaku anak merdeka


layarkan bahtera faham ke sungai harmoni


kita persiapkan tingkah gagah


semangat besi waja


lautan hadapan menunggu kita!




1991-1992


(Dalam Kembara Fikir di Tanah Senja)

Friday, April 3, 2009

ASEANO: An Anthology of Poems from Southeast Asia

ASEANO: An Anthology of Poems from Southeast Asia (1995)
Editors:
Romula P. Baquiran, Jr.
Shaharah Wahab
Taufiq Ismail
Lim Kim Hui
Simon Tay
Linchong Chorrojprasert
Manila: ASEAN COMMITTEE ON CULTURE & INFORMATION

Monday, December 22, 2008

Teori Kesusasteraan Cina

Buku ini membicarakan secara terperinci teori kesusasteraan Cina tradisional dengan menggunakan metodologi Barat sezaman, dan merupakan buku yang pertama dalam sebarang bahasa yang menganalisis teori tersebut dalam satu kerangka konseptual yang baru. James J.Y. Liu, memberi fokus terhadap teori tentang ciri dan fungsi sastera Cina. Corak karyanya bersifat analitikal dan hermeneutikal terutamanya, walaupun juga bersifat sejarah, dan karya ini membuka satu bidang pengkajian baru kepada para sarjana sastera. Buku ini merupakan teks kajian ilmiah dan buku rujukan para pelajar di institusi pengajian tinggi, khususnya bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang sastera Bandingan dan Pengajian Cina.

Sejarah Ringkas Falsafah Cina

Sejarah Ringkas Falsafah Cina merupakan sebuah babad pemikiran Cina bermula daripada para raja-pendeta alaf ketiga sehingga kepada penggulingan sistem monarki tertua di dunia dalam 1911. Buku ini menjelaskan aliran Konfusianisme dan Taoisme yang paling lazim dikenali, dan ia memaklumi pembaca dengan Mohisme, Yin-Yang, Legalisme, Neo-Taoisme, Neo-Konfusianisme, dan pengenalan falsafah Barat. Penyesuaian daripada karya agung Dr. Fung yang berjudul History of Chinese Philosophy ini membekali para penggemar falsafah dan para pelajar pengajian Asia pada semua peringkat dengan sebuah jendela khusus bagi memandang ke dalam ideologi dan falsafah Cina dahulu kala dan semasa.

Kembara Fikir di Tanah Senja

Kumpulan puisi Kembara Fikir di Tanah Senja memuatkan 167 buah puisi yang dihasilkan sejak tahun 1987-2005 mencanai pengalaman dan pemerhatian penulis yang kebanyakannya ditulis ketika berada di luar negara dengan pelbagai tema yang menyentuh hatinya. Di tangan penyair, irama peradaban Timur dan Barat dijalin menjadi lagu kemanusiaan yang penuh harmonis dan puitis dengan pilihan metafora dan personifikasi yang bermaya. Dengan nada yang sentiasa sinis dan penuh falsafah, penulis mengungkapkan kritikan tajam terhadap isu-isu nasional dan global.

Globalisasi, Media dan Budaya

Globalisasi, Media dan Budaya: Antara Hegemoni Barat dengan Kebangkitan Asia merupakan buku pertama yang berusaha mengupas tema globalisasi, media dan budaya berserta isu-isu yang berkaitan dengannya secara terperinci dan mendalam. Kupasan yang bersifat semasa, sistematik dan ilmiah ini membincangkan revolusi komunikasi dan kesannya terhadap pembentukan identiti budaya masyarakat sesebuah negara dalam arus globalisasi. Isu-isu yang disentuh mencakupi antaranya globalisasi politik, ekonomi, media dan bahasa. Buku ini juga secara menarik mengupas peranan konglomerat media, institusi antarabangsa dan kewujudan pelbagai media global seperti berita antarabangsa, filem Hollywood, sistem satelit, stesen televisyen global dan internet dalam mencorakkan pelbagai bentuk hegemoni Barat. Bertambah menarik lagi, buku ini cuba mendekati isu-isu yang berkaitan dengan kuasa-kuasa Barat, khususnya Amerika Syarikat dalam menguasai dunia melalui media dan masa depannya dengan arus kebangkitan Asia, khususnya China bagi menghadapi "tsunami" maklumat Barat ini. Buku ini sesuai dijadikan buku teks universiti, bahan bacaan umum dan bahan rujukan peringkat pengajaran di universiti dan seharusnya dimiliki para pengamat isu globalisasi, mahasiswa sama ada peringkat ijazah pertama mahupun ijazah lanjutan dan para pengajar di universiti. Memandangkan globalisasi melibatkan semua lapisan masyarakat, buku ini juga tentunya menarik kepada para pembuat dasar, penyiar, wartawan, pendidik di sekolah, ahli politik, ahli ekonomi, pencinta bahasa, anggota badan bukan kerajaan, peniaga, peminat filem, penggemar muzik, peminat sukan dan sesiapa sahaja yang berminat dengan isu globalisasi dan bakal menerima tempias daripadanya.
Globalisasi, Media dan Budaya: Antara Hegemoni Barat dengan Kebangkitan Asia.
By Lim Kim Hui and Har Wai Mun

Published by Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia, 2007. Softcover: pp. 553.


Globalisasi, media dan budaya: Antara hegemoni Barat dengan kebangkitan Asia (Globalization, media and culture: Between Western hegemony and the emergence of Asia) is the first book that discussed in detail various themes and issues of globalization, media and culture. This contemporary, systematic and academic book discusses how the communication revolution has shaped the formation of cultural identity and its effect in the era of globalization. Issues covered include globalization of politics, economy, media and language. This book also interestingly analyzes the role of media conglomerates, international institutions and the emergence of various global media such as international news agencies, Hollywood movies, satellite system, global television stations and Internet in shaping the Western hegemony. In addition, the book also critically touches on issues of Western powers, especially the United States in conquering the world through media and juxtaposes it with the emergence of Asia, especially China in countering this “tsunami” of Western information colonization.

Budi as the Malay Mind

http://www.iias.nl/nl/31/IIAS_NL31_31.pdf

Monday, December 15, 2008

Pemikiran Retorik Barat

Buku ini terbahagi kepada dua belas bab: Bab 1 menelusuri maksud retorik dari segi definisi dan perspektif asal-usul persejarahannya. Bab 2 menyelusuri perkembangan retorik klasik bermula dari Corax dan Tisias dalam Zaman Yunani, diikuti dengan Bab 3 memberi fokus kepada retorik Aristotle selaku bapa retorik Barat. Bab 4 menjelaskan retorik di Rom dengan fokus diberikan kepada Cicero dan Quintilian. Bab 5 melihat retorik dalam konteks perkembangan retorik Zaman Pertengahan, dengan fokus diberikan kepada St. Augustine, Boethius dan tiga jenis genre retorik pada zaman berkenaan iaitu: Seni Khutbah, Seni Penulisan Surat dan Seni Puisi. Bab 6 pula meninjau retorik zaman Renaisans sehingga perkembangan retorik berpengantar Inggeris abad ke-16 dan 17. Bab 7 pula memasuki alam zaman Penyedaran bersama-sama dengan retorik abad ke-18, khususnya retorik Inggeris. Penjelasan tentang retorik abad ke-19 dan ke-20 dengan fokusnya kepada retorik yang bertunjang di Amerika sehinggalah retorik menukar arahnya kepada retorik merentasi disiplin diungkapkan dalam Bab 8, dengan retorik kontemporari Barat dibincangkan dalam Bab 9, Bab 10 dan Bab 11, iaitu Bab 9 berusaha melihat pandangan tokoh retorik yang berkisar sekitar hujahan dan khalayak; Bab 10 mengisahkan pandangan tokoh yang melihat retorik sebagai pemurnian dunia simbol dan paradigma rasional dan Bab 11 menjelaskan retorik zaman kontemporari yang melibatkan perspektif teks dan kuasa. Manakala Bab 12 berusaha memberi suatu gambaran terhadap arah tuju dan masa depan kajian retorik khususnya dalam era globalisasi ini termasuk kemunculan aliran feminisme, kajian retorik bukan Barat dan retorik visual.
Pemikiran Retorik Barat: Sebuah Pengantar Sejarah
By Lim Kim Hui

Published by Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darul Salam, 2007. Softcover: pp. 339.
This introduction to the art of rhetoric offers an accessible discussion of the history of rhetorical studies in the Western tradition, from ancient Greece to contemporary American and European theorists. The discussion covers origins and history of rhetoric, Aristotle’s rhetoric, Roman society and rhetoric, rhetoric in Christian Europe during the Middle-Ages, rhetoric in the Renaissance, Enlightenment rhetoric, and various perspectives on contemporary rhetoric of selected contemporary thinkers. This book also highlights the emergence of visual rhetoric, non-Western rhetorical tradition, feminism and post-modernism that will shape the future trends and challenges in the studies of rhetoric.