Sunday, January 10, 2010

PADAMKAN API YANG MENYALA!

PADAMKAN API YANG MENYALA!


Wahai anak-anakku bangsa merdeka!


Di terang bulan bumi bertuah ini


kita berjanji memagar setia membentang pertiwi


bukan menabur dendam di bendang fikir


yang suburnya mencambah prasangka -


tanpa kubu yakin batas sabar


kita hanyut ditelan emosi.




Biar politikus yang rakus


menyembur rempah-ratus politik emosi ras


mendidih kawah kata dan kuali isu yang panas


melontar hujahan falasi dan retorik kosong


api perkauman membahang menembus lapisan ozon


menala kompang perkauman di ceruk desa


memalu gendang cauvinis di sudut kota


berbajukan kebenaran bertopengkan hak


memancing undi mengisi raga-raga politik


memenuhkan kantung kepentingan diri


kita menghitung berapa raga miskin


yang ditanggung generasi ke generasi


di meja tersaji janji hidangan kempen


meneriakkan santapan hak asasi


kaum sendiri-sendiri


menempikkan ratapan suara demokrasi yang basi




kebenaran, apa bangsamu


kebenaran, mana asalmu


kebenaran, apa jantinamu.




kebenaran bukan tidak berganjak dari tradisi


kerana tradisi tidak semestinya berisi


kebenaran bukan suara majoriti


kerana majoriti tidak semestinya berinti.




Ingat! bangsa-bangsaku anak merdeka


layarkan bahtera faham ke sungai harmoni


kita persiapkan tingkah gagah


semangat besi waja


lautan hadapan menunggu kita!




1991-1992


(Dalam Kembara Fikir di Tanah Senja)

4 comments:

Unknown said...

salam sejahtera..

saya kagum dengan Dr semenjak membaca thesis Dr minggu lalu. kemudian mula mencari tuan empunya diri.. really proud to have you as Malaysian and proud to have u in UKM. chaiyok chaiyok

LIM KIM HUI said...

Terima kasih kerana sudi membaca tesis saya. Semoga mendapat manfaat daripada kerja yang kerdil itu. Salam.

Hasmir said...

Salam Sejahtera Dr.
Saya pernah mendeklamasikan sajak Dr (Padamkan Api Yang Menyala)semasa di tingkatan 3 pada tahun 1993. Sekarang akhir tahun 2019..isi kandungan sajak ini bukan saja masih lagi relevan, malah mungkin situasi semasa sangat sangat memerlukan penulisan seperti ini..yang sangat kurang ketika ini. Semoga Dr kekal sihat.
Terima Kasih

LIM KIM HUI said...

Terima kasih sdr Hasmir kerana memberitahu pengalaman membacakan puisi saya dan pendapat tentangnya. Memang benar pendapat sdr. Nampaknya suasana politik Malaysia semakin bergerak ke arah yang kurang sihat. Mudah-mudahan apinya akan reda. Salam.